Temasya Pantai Timur 2011 bermula hari ini

KUANTAN 20 Okt. - Temasya Pantai Timur 2011 yang akan berlangsung tiga hari bermula esok di Dataran Pekan bakal mengangkat kesenian dan kebudayaan masyarakat di negeri-negeri Pantai Timur sebagai ikon pelancongan negara.

 

 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang, Nur Ayzlinda Abu Bakar berkata, ia bertepatan dengan pengisian temasya ini yang bakal mengetengahkan keunikan kesenian penduduk di tiga negeri berkenaan.

 

 

"Dalam masa yang sama, temasya ini dijadikan platform melahirkan bakat dalam seni budaya dan membangunkan industri kreatif," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

 

 

Menurut Nur Ayzlinda, selain menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan masyarakat Pantai Timur, program ini bertujuan mengangkat elemen sastera dan bahasa.

 

 

"Pelbagai aktiviti dan persembahan diadakan bagi menyemarakkan elemen seni dan budaya seperti gendang Pantai Timur, perarakan budaya Pantai Timur dan generasi Y serta pameran kesenian. Artis berasal dari Pantai Timur seperti Saleem Iklim, Roy Kapilla dan Anis Salwa juga akan membuat penampilan istimewa pada temasya ini," jelasnya.

 

 

Tambahnya, pihak penganjur menyasarkan penyertaan 1,981 orang yang terdiri daripada artis, penari, penggiat seni, ahli persatuan seni bela diri dan para pelajar.

 

 

Program dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Pelancongan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob esok pada malam esok.

 

 

Selain itu, pada hari pertama program, pelbagai acara menarik akan dianjurkan antaranya pertunjukan seni bela diri, demo pembuatan batik Terengganu dan senam seni 1Malaysia.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, October 20, 2011