Teater tiga kaum

    Oleh Ridzuan Abdul Rahman

    TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Begitulah ibaratnya hayat teater tradisional yang dulunya dianggap sepi dan dimainkan pada acara tertentu sahaja.

     

    Bagaimanapun dengan kewujudan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), teater tradisional terus dipertahankan dan dipelihara rapi supaya tidak terpinggir oleh arus pembangunan.

     

    Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara warisan negara ini terus menyusun pelbagai agenda setiap tahun bagi memperkenal dan mempertahankan teater tradisional.

    Kini, Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Sektor Perancangan, Penyelidikan Dan Pembangunan JKKN tampil lagi dengan acara Siri Teater Tradisional 2012.

     

    Dilangsungkan dengan kerjasama JKKN negeri Kedah, JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara), Siri Teater Tradisional 2012 adalah satu program diadakan sempena bulan Festival Kuala Lumpur yang menekankan aspek pembabitan peserta pelbagai kaum.

    Program yang bertujuan mengangkat martabat siri teater tradisional agar tidak lupus ditelan dek zaman ini terbahagi kepada tiga kumpulan kesenian tradisional terpilih iaitu Teater Tradisional Opera Cina, Teater Tradisional Wayang Kulit Purwo dan Teater Tradisional Jikey.

    Majlis Malam Gala Siri Teater Tradisional Malaysia 2012 akan berlangsung pada 8 Julai ini, jam 8.30 malam di Panggung Eksperimen, Aswara dan akan dihadiri oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

    Persembahan untuk Siri Teater Tradisional Malaysia 2012 akan dibuka dengan pementasan Teater Tradisional Opera Cina yang dijayakan oleh Persatuan Peminat Opera dan Muzikal Cina TOTALMAS pada 30 Jun dan 1 Julai 2012 di Panggung Eksperimen, Aswara pada jam 8.30 malam.

    Ia disusuli pementasan Teater Tradisional Wayang Kulit Purwo oleh Kumpulan Sri Wahyuni pada 5 dan 6 Julai ini di lokasi dan waktu yang sama.

    Seterusnya, berlangsung pula Teater Tradisional Jikey oleh Kumpulan Teater Tradisional Negeri Kedah pada 7 dan 8 Julai ini juga di Panggung Eksperimen, Aswara yang ditutup dengan Majlis Malam Gala Siri Teater Tradisional Malaysia 2012.

    Sememangnya program ini akan memberi peluang dan cabaran kepada seni teater tradisional untuk melangkah ke hadapan agar lebih dikenali oleh masyarakat setempat.

    Bahkan ia memberi pendedahan di samping memperkenalkan teater tradisional kepada masyarakat setempat mengenai kewujudannya yang jarang diketengahkan secara meluas.

    Tiga teater yang ditampil?kan sememangnya mempu?nyai keistimewaan tersendiri.

    Teater Tradisional Opera Cina mengisahkan antara tempoh Musim Bunga dan Musim Luruh, Jeneral Tang Jiao di negeri Chu pergi berperang dengan raja dan kembali dengan kejayaan. Tang Jiao dan abang iparnya, Xiang Xiang telah jatuh cinta pada wanita yang sama iaitu Yu Ji.

    Teater Tradisional Wayang Kulit Purwo pula kerap dipentaskan di bahagian Selatan Pantai Barat, terutamanya Johor dan dimainkan oleh penduduk keturunan Jawa. Cerita wayang ini berdasarkan cerita Pendawa Jawa yang disadur dari epik Mahabharata India. Begitupun, ceritanya tidak memperlihatkan pengaruh cerita panji. Secara keseluruhan patung-patung ini menyerupai patung wayang kulit Kelantan.

    Perbezaan yang nyata adalah dari segi bentuk mata patung, iaitu mata Jaitan untuk watak pahlawan, mata pepelangan untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa. Alat Muzik wayang purwo berbeza dengan wayang lain kerana terdiri dari sebuah gong besar (agong), gong suwukan, satu set gambang, lima biji kempul, lima biji kenong, dua set gonder, satu slentem, satu set saron, satu set peking (saron penerus), satu set ketok/kompang, satu batang rebab dan satu biji gendang.

    Manakala Teater Tradisional Jikey yang menampilkan 18 pelakon lelaki dan 12 pelakon wanita, mengisahkan seorang saudagar India iaitu Tuan Keling tiba di pintu Kuala Negeri Kedah bersama pengikut-pengikutnya dengan menaiki tongkang.

    Beliau membuat bising di pintu kuala dan Putera Raja di negeri itu terdengar perbualan mereka. Lalu, Putera Raja mengarahkan Awang pengasuhnya iaitu Awang Tua dan Awang Muda untuk melihat apa yang berlaku di tempat tadi.

    Tuan Keling meminta kepada Awang untuk membawanya berjumpa dengan Putera Raja Negeri Kedah bagi urusan perniagaan. Setelah mendapat perkenan Putera Raja, Tuan Keling memulakan urusniaga dengan seorang peniaga Cina. Pelbagai gelagat yang menarik berlaku di antara urus niaga mereka berdua.

    Akhbar: 
    Harian Metro
    Publish date: 
    Friday, June 22, 2012