Tarian kreasi di Inspitari

(KUMPULAN Kesenian Cemerlang JKKN akan mempersembahkan tarian ayak yang mengambil inspirasi perlombongan bijih timah.)

JARI-JEMARI para penari Kumpulan Kesenian Cemerlang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kelihatan begitu lembut dan lentik. Goyangan badan bergerak mengikut kiraan koreografi dan muzik.

 

Sebaik sahaja muzik tamat serta-merta mereka mengeluh kesakitan terutama pada bahagian paha dan bahu menggambarkan betapa tarian tradisonal memerlukan ketahanan badan yang tinggi selain minat yang mendalam.

 

Bagi Siti Juliana Rosdi, 22, yang baru setahun menjadi penari sepenuh masa di JKKN, tarian tradisional benar-benar menguji keupayaan dan ketahanan dirinya.

“Tidak sampai sebulan saya bekerja di sini (sebagai penari), saya mendapat jangkitan demam panas. Mungkin badan masih lagi tidak biasa dengan latihan yang padat di sini,” imbasnya ketika mula-mula menyertai kumpulan tersebut pada Oktober 2010.

 

Dia merupakan salah seorang daripada 16 orang peserta yang kini sedang mengadakan persembahan Malam Gala Inspitari 2011 yang berlangsung di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sejak 26 Oktober lalu hingga 30 Oktober nanti.

 

Ayak

Pada tahun ini, kumpulan dari Kuala Lumpur itu akan mempersembahkan sebuah tarian rekaan terbaharu yang diberi nama ayak.

 

Menurut koreografi tarian itu, Siti Suhaila Taman yang mula menari sejak tahun 1989, pada peringkat permulaan, amat sukar untuk kumpulannya mencari satu identiti yang menggambarkan bandar raya Kuala Lumpur.

 

Ujarnya, Kuala Lumpur tidak seperti bandar-bandar lain di Malaysia yang memiliki budaya yang jelas dan ketara tetapi melalui penyelidikan di internet, rata-rata menunjukkan kota metropolitan itu amat sinonim dengan perlombongan bijih timah.

 

“Jadi, kami menambahbaikan pekerjaan tersebut pada gerak tari kami iaitu dengan mengambil elemen cara pekerja melombong dan menghidupkan gerakan bijih timah dalam sungai melalui gerak tari,” terang gadis yang berusia 30 tahun itu.

 

Uniknya, ayak lahir daripada pergerakan terlebih dahulu kemudian baru disusuli dengan muzik iringan. Ia berbeza dengan tarian lain yang diilhamkan melalui bunyi-bunyian alat muzik.

 

Tarian tersebut akan ditarikan oleh sembilan orang penari perempuan yang akan menjiwai watak bijih timah dan tujuh orang lelaki yang mengambil inspirasi sebagai pelombong.

 

“Sehingga kini, kami masih lagi menghalusi gerak tari dan muzik setiap kali sesi latihan dijalankan,” ujar Siti Aishah Mohd. Azlan, 26, ketika ditemui semasa sesi latihan baru-baru ini.

(SUHAILA (kiri) menunjukkan lentik jari yang betul kepada kumpulan tarian JKKN.)

Akhbar: 
Utusan
Publish date: 
Friday, October 28, 2011