Senam Seni sedarkan pekerja penting jaga kesihatan

Kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mengambil bahagian dalam Senam Seni di Teratak Perpatih, Muzium Melaka, baru-baru ini.

SEREMBAN 15 Jun - Seramai 40 peserta mengambil bahagian dalam program Senam Seni anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan di Teratak Perpatih, Muzium Negeri di sini, baru-baru ini.

Program Senam Seni tersebut disertai pegawai dan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan.

Pengarah LMNS, Dr. Shamsuddin Ahmad berkata, aktiviti itu bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangan mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan bersenam.

"Melalui senaman dan aktiviti kecergasan yang dilakukan bersama-sama seperti ini, semua kakitangan sentiasa cergas dan sihat serta bebas daripada sebarang penyakit.

"Di samping itu, aktiviti ini adalah salah satu cara kita menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan agar semua penjawat awam di negeri ini mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam," katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan, Nik Mohd. Fadly Nik Mat berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat menyihatkan badan tetapi mengeratkan hubungan antara pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan berkenaan.

Katanya, walaupun sibuk dengan tugas harian, kakitangan di jabatan tersebut harus memperuntukkan masa untuk aktiviti bersenam bagi memastikan badan sentiasa sihat dan cergas.

"Kurangnya kesedaran tentang kepentingan menjaga amalan pemakanan dan bersenam adalah punca utama seseorang itu mudah mendapat penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung," tambahnya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Saturday, June 16, 2012