Pesta Gong Antarabangsa Sarawak 2011 Dijangka Tarik 5,000 Pengunjung

Bau,14 Okt – Pesta Gong Antarabangsa Sarawak 2011 yang diadakan di sini pada 18 – 20 Nov ini, dijangka menarik 5,000 pengunjung, kata Menteri Muda Perkhidmatan Masyarakat Sarawak Datuk Peter Nansian.

 

Beliau juga yakin program itu dapat menjadi tarikan pelancongan, khasnya di luar bandar selain menyemarakkan aktiviti berkenaan pada kalangan masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur.

 

“Penyertaan kumpulan luar negara seperti Brunei dan Indonesia dan kumpulan tempatan mampu menjadikannya satu program global,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pesta Gong Antarabangsa 2011 besama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak Saini Lihi, di sini Jumaat.

 

Sebanyak 19 kumpulan dari Sarawak termasuk Anak Temuai Malam dari Pakan, Tuku Kame (Kumpulan Budaya Sarawak), Persatuan Budaya Iban (Sri Aman), Kumpulan Bisingai (Pusat Redeems), Kumpulan Buduk Gerua (Lawas), Kumpulan Li Sheng Association (Kuching), Gamelan Sri Arjuna, Universiti Malaysia Sarawak dan Dayak Cultural Foundation akan menyertainya.

 

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan Seni Beaufort dari Sabah; Gabungan Muzik Tradisi (Gamutra) dari Majlis Kebudayaan Daearah Besut, Terengganu dan kumpulan kesenian Jabatan Kebudyaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan.

 

Program ini dianjurkan julung kali oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri Sarawak.

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Friday, October 14, 2011