Pengunjung Meriahkan Program Merakyatkan Seni Budaya

BUTTERWORTH, 9 Jun (Bernama) -- Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) yang bertemakan "Bersama Menghayati Keindahan Seni" berlangsung di sini Jumaat malam dimeriahkan oleh kehadiran lebih 2,000 pengunjung.

Acara selama tiga jam itu bermula pukul 8 malam di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar, dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor.

Dalam ucapan perasmian, menteri itu berkata warisan budaya adalah satu aset yang amat berharga dalam usaha mengekal jati diri bangsa terutama ketika berhadapan era globalisasi.

"Program sebegini mampu mengangkat martabat seni dan budaya bangsa serta memperkukuhkan semangat kerjasama di kalangan masyarakat dan pemimpin selain menjadi wadah mengeratkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Nor Mohamed berharap persembahan seni dan budaya yang ditunjukkan menjadi aspirasi mengukuhan perpaduan terutama golongan belia termasuk pelajar.

###

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Saturday, June 9, 2012