Pementasan teater randai di Kompleks JKKNNS

SEREMBAN – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) akan mengadakan pementasan teater randai ”Kaba Kasih Menanti” di Auditorium II, Kompleks JKKNNS, Jalan Sungai Ujong, di sini pada Sabtu dan Ahad ini mulai pukul 8.30 malam.

Timbalan Pengarah JKKNNS, Nik Mohd Fadly Nik Mat berkata, pementasan ini merupakan salah satu teater Negeri Sembilan bagi mengangkat martabat dan budaya serta identiti negeri kepada masyarakat luar serta generasi muda.

"Teater ini mempunyai unsur positif dan antaranya ialah kasih sayang, hormat-menghormati, kerjasama dan banyak lagi yang dapat diambil iktibar bersama,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, teater ini juga pernah dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2010 dan Panggung Negara pada tahun 1997.

Katanya, teater ini menggabungkan tarian, muzik, silat dan randai bagi mengekalkan warisan Negeri Sembilan di mana ia mengisahkan penantian seorang ibu terhadap kepulangan seorang anak dari pelayaran, yang bernama Bujang. – BERNAMA

Akhbar: 
Kosmo!
Publish date: 
Wednesday, June 20, 2012