Pantai Timur 2011 angkat budaya tiga negeri

 

(ORANG ramai yang hadir memeriahkan Temasya Pantai Timur 2011 yang diadakan di Dataran Pekan, semalam.)

PEKAN 23 Okt. - Penganjuran Temasya Pantai Timur 2011 di Dataran Pekan di sini selama tiga hari berakhir hari ini ternyata tidak menghampakan para pengunjung dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan.

 

Malah, usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara untuk mengangkat serta menyemarakkan kebudayaan masyarakat tiga negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan sebagai ikon seni budaya Malaysia pasti mampu memikat pelancong asing.

 

Menurut salah seorang pengunjung, Sarah Zainal, 44, dia berasa bertuah kerana berpeluang mengunjungi temasya itu dan mengenali kesenian dan kebudayaan ketiga-tiga negeri dengan lebih dekat.

 

"Selama ini saya hanya mendengar dan membaca mengenai seni budaya, tetapi apabila datang ke sini dan melihat sendiri persembahan, saya rasa bertuah.

 

"Memang satu kelainan jika dibandingkan dengan seni budaya negeri sendiri kerana saya berasal dari Kuantan. Apa yang menarik perhatian saya ialah kepelbagaian kuih tradisional dari setiap negeri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Tambah ibu kepada tiga anak itu, temasya berkenaan juga memberi peluang untuk melihat perbezaan gaya hidup melalui persembahan kesenian seperti sketsa main puteri, mak yong, wayang kulit, ulek mayang dan tarian pelanduk

 

"Setiap persembahan membawa kita kepada 1,001 cerita yang memerlukan penghayatan mendalam," jelasnya.

 

Bagi seorang anggota bomba, Mohd. Hairuddin Saidi, 33, penganjuran temasya itu sesuai dengan bulan memartabatkan bahasa kerana ia dapat memupuk semangat jati diri yang tinggi melalui seni dan budaya.

 

"Seiring dengan dunia pada masa kini memang susah untuk kita mengembalikan seni dan budaya dalam aktiviti seharian. Tetapi, dengan penganjuran temasya ini seolah-olah menyedarkan kita dan memupuk kembali semangat cintakan seni dan budaya yang merupakan tunjang kehidupan kita," jelasnya yang berasal dari Rompin.

 

Katanya, temasya yang diadakan itu ternyata memberi kesan baik terutama kepada generasi muda kini.

 

"Saya cadangkan lebih banyak agensi kerajaan menyertai temasya seperti ini pada masa akan datang," katanya.

 

Sementara itu Salbiah Budin, 38, berkata, penduduk seharusnya berasa bertuah kerana Pekan dipilih sebagai lokasi temasya kali ini.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, October 24, 2011