Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia, 14 April

KANGAR 11 April - Kira-kira 3,000 masyarakat Siam di negeri ini dijangka akan memeriahkan Program Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia bersama Masyarakat Siam di pekarangan Kolej Kejururawatan Masyarakat, Jalan Behor Pulai di sini pada 14 April ini.

 

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, Mohd. Rizal Ismail berkata, program ini dianjurkan oleh JKKN negeri, Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Siam Perlis.

 

"Sebelum majlis pelancaran, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dan juga Pengerusi Persatuan Siam Perlis, Datuk Siw Chun akan melawat tiga kampung di Kampung Padang Petani untuk memberikan sumbangan kepada penduduk yang telah dikenal pasti," katanya.

 

Beliau berkata, sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras, sardin, minyak masak akan diberikan kepada sembilan penduduk yang mewakili setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Siam, tiga Melayu dan masing-masing seorang dari kaum India dan Cina.

 

Jelasnya, pada majlis pelancaran pula akan diadakan upacara gimik semburan air sebagai meraikan Pesta Songkran.

 

Mohd. Rizal berkata, di antara acara menarik di dalam program itu pada sebelah pagi ialah demonstrasi memasak tomyam dan somtam.

 

"Juga diadakan pertandingan permainan tradisional seperti karom, tuju tin, dam aji, batu tujuh, congkak dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak," katanya.

 

Tambahnya, selain itu juga diadakan persembahan kebudayaan oleh artis budaya tari JKKN dengan persembahan Selamat Datang yang merupakan tarian Siam, persembahan artis popular tempatan kaum Siam, Emom Esoong dan Nukphanida Pit, persembahan gendang dan tarian menora masyarakat Siam.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, April 12, 2012