Memartabatkan bangsawan, seni tradisi

BANGSAWAN merupakan satu lagi teater tradisional yang bakal pupus jika usaha-usaha mengangkat dan memartabatkannya tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

 

Daripada persembahan yang sering dipersembahkan kepada golongan istana satu ketika dahulu, kini bangsawan tidak lagi dihiraukan terutama oleh generasi muda.

 

Golongan itu kini lebih leka dengan teater-teater moden selain asyik dengan pelbagai bentuk program realiti terutama yang ditayangkan di televisyen.

 

Sebelum persembahan bangsawan terus berkubur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mengambil inisiatif melancarkan Siri Semarak Bangsawan 2012 dan Bazaar Industri Seni Budaya.

 

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Siri Semarak Bangsawan 2012 merupakan program jabatan itu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

"Program ini bertujuan memartabatkan seni persembahan bangsawan di samping menarik minat dan memperkenalkan masyarakat terhadap teater bangsawan.

 

"Memandangkan Bangsawan merupakan satu bentuk kesenian tradisional, usaha pemuliharaan dan menyemarakkan seni pementasan bangsawan giat dilaksanakan oleh JKKN.

 

"Siri Semarak Bangsawan bertujuan membangunkan seni Bangsawan di Malaysia dan mengembalikan kegemilangan pementasan Bangsawan sebagai satu cabang seni yang popular," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Katanya, program ini bertujuan menyemarakkan minat masyarakat terhadap pementasan bangsawan.

 

Di samping itu katanya, ia juga bagi memperkenalkan, mendedahkan dan melengkapkan pengetahuan generasi muda dalam pementasan Bangsawan.

 

Tambah beliau, sejak Siri Semarak Bangsawan mula diadakan pada tahun 2007, sehingga kini hampir 50,000 orang penonton telah membanjiri Panggung Bandaraya bagi menyaksikan pementasannya.

 

Manakala sebanyak 26 kumpulan telah berpeluang mementaskan 46 naskhah Bangsawan. Rentetan daripada itu, program tersebut juga dilihat telah berjaya mengembalikan era kegemilangan seni Bangsawan melalui kewujudan banyak kumpulan-kumpulan baru.

 

"Apa yang membanggakan adalah kebanyakan kumpulan-kumpulan baru yang wujud ini dipelopori oleh generasi muda.

 

"JKKN percaya perkembangan ini merupakan kejayaan kepada program penyemarakan Bangsawan ini," kata Norliza.

 

Beliau memberitahu, pengisian aktiviti bagi Siri Semarak Bangsawan 2012 merangkumi sembilan pementasan yang bakal diumumkan pada esok (24 Mac).

 

Bagi membuka tirai Siri Semarak Bangsawan 2012, Bangsawan Chelorong-Cheloreng yang diarahkan oleh Zaiffri Hussin bersama Kumpulan Bangsawan JKKN akan mengambil tempat bermula 23 hingga 25 Mac ini.

 

Program Semarak Bangsawan 2012 berkonsepkan persembahan Bangsawan oleh sembilan kumpulan yang masih aktif yang dipilih seluruh Malaysia. Setiap kumpulan tersebut akan melakukan persembahan selama tiga hari pada minggu kedua setiap bulan.

 

Kumpulan yang terpilih itu juga kata Norliza, perlu menyediakan pameran seperti sejarah bangsawan di Malaysia, tokoh-tokoh Bangsawan negara, busana teater Bangsawan dan pengenalan kepada kumpulan yang membuat persembahan serta aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan.

 

Sembilan kumpulan tersebut adalah Angkatan Seni Teater Anak Kampar yang akan mempersembahkan Bangsawan Paduka Menteri pada 13 hingga 15 April diikuti Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dengan Bangsawan Raja Badang pada 11-13 Mei.

 

Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam akan membawakan Bangsawan Genta Alam pada 8-10 Jun, Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur pula dengan Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri pada 13 hingga 15 Julai.

 

Kumpulan Bangsawan Seri Kedah akan mementaskan Bangsawan Tragedi Merong Mahawangsa pada 21- 23 September 2012.

 

Kelab Teater Seri Teja Kuala Lumpur akan mempersembahkan Bangsawan Sumpah Lantara Bijaya pada 12-14 Oktober diikuti Majlis Kebudayaan Selangor dengan Bangsawan Ahmad Albab pada 16-18 November 2012.

 

Kumpulan terakhir yang akan melakukan persembahan ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 14-16 Disember.

 

Sempena tahun 2012 ini, JKKN turut mengambil inisiatif mengadakan Bazaar Seni Industri Budaya serentak sempena Siri Semarak Bangsawan. Antara pengisiannya seperti program mencungkil bakat yang akan diadakan pada setiap bulan dengan fokus kepada pencarian bakat dalam bidang muzik dan lawak jenaka.

 

Turut diadakan sempena bazar itu ialah permainan tradisional, persembahan jalanan dan santai puisi yang di selaraskan bersama Persatuan Penulis Nasional Wilayah Persekutuan.

 

Turut diadakan ialah Dendang Rakyat, persembahan kesenian pelbagai kaum, pameran motosikal berkuasa tinggi, pertunjukan basikal fixie dan banyak lagi aktiviti yang sesuai dikongsi bersama seisi keluarga.

 

Bagi memastikan para penonton dapat menyaksikan pementasan bangsawan ini dengan selesa, pas-pas masuk berharga RM5 boleh ditempah di talian 013-2266830.

 

Manakala bagi Bazaar Seni Industri Budaya, masuk adalah percuma.

 

Maklumat lanjut tentang Siri Semarak Bangsawan boleh didapati di www.jkkn.gov.my dan rangkaian media sosial facebook Sahabat Budaya JKKN, atau hubungi Cawangan Komunikasi Korporat JKKN di talian 03-20523703 (Hassanal) atau 03-20523616 (Noorariza).

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, March 23, 2012