Mak Yong datang kepada rakyat

Barisan pemuzik yang menghidupkan persembahan Mak Yong.

 

PERSEMBAHAN Mak Yong yang merupakan salah satu bentuk teater tradisional Melayu kian hari kian tenggelam di telan zaman.

 

Jika tidak ada usaha untuk mengangkat dan memartabatkannya maka tidak mustahil satu hari ia akan pupus begitu sahaja.

 

Sehubungan itu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah melancarkan Explorasi Mak Yong 2012 untuk mementaskannya di seluruh negara. Ia yang berbentuk konsep penjelajahan akan membabitkan kumpulan mak yong yang dibayar gaji secara tetap.

 

Mereka ini akan menjelajah ke seluruh pelosok negara bagi menjayakan misi mendekatkan teater tradisional itu kepada rakyat.

 

Ketua Pengarah (JKKN), Datuk Norliza Rofli berkata, Mak Yong merupakan satu-satu kesenian rakyat Malaysia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Intangible Heritage di Malaysia pada 25 November 2005.

 

Sejak tarikh pengisytiharan tersebut, sehingga ke hari ini, Kumpulan Mak Yong Kijang Emas di bawah JKKN Kelantan telah menjadi kumpulan perintis yang berjaya dihidupkan serta aktif bagi mengadakan persembahan secara profesional di dalam dan luar negara.

 

"Memandangkan Mak Yong merupakan satu kesenian tradisional yang hampir dilupakan, maka JKKN bercadang meneruskan kesinambungan hayat Mak Yong menjadi genre kesenian kebanggaan rakyat Malaysia.

 

"Oleh itu satu program Siri Persembahan Jelajah Kijang Emas dan bengkel Mak Yong telah dicadangkan di negeri-negeri yang dipilih untuk melestarikan warisan tradisional itu.

 

"Ini supaya ia terus terpelihara dan dihayati oleh generasi pelapis penggiat seni, pelajar IPT serta khususnya artis tari JKKN," katanya.

 

Objektif siri jelajah yang dikenali sebagai Jelajah Kijang Emas itu bukan sahaja bertujuan mengangkat dan mengiktiraf kumpulan Mak Yong tersebut tetapi juga bakat serta kebolehan artis dalam mempersembahkan teater tradisional itu di samping memartabatkan kembali kesenian itu dalam bentuk dan konsepnya yang asal.

 

JKKN juga giat menjalankan usaha pemupukan dan pemuliharaan kesenian tradisional Mak Yong supaya ia terus dilaksanakan dan diminati oleh generasi muda.

 

Tambahan pula kata Norliza, JKKN ingin mendekatkan kesenian tradisional itu kepada masyarakat yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan khalayak seni yang tidak pernah berpeluang menontonnya dari dekat khususnya pelajar IPT, sekolah dan peminat teater tradisional.

 

Menurut beliau, pengisian aktiviti bagi Siri Jelajah Kijang Mas merangkumi Bengkel Mak Yong selama tiga hari dan persembahan Mak Yong bertajuk Puteri Jerijit Emas selama dua hari.

 

Bengkel itu akan mendedahkan pelajar sekolah dan IPT, badan bukan kerajaan serta artis budaya kepada asas tarian Mak Yong dan struktur persembahannya.

 

Di akhir bengkel, semua peserta berpeluang terlibat dengan persembahan Mak Yong bersama Kumpulan Mak Yong Kijang Emas.

 

Puteri Jerijit Emas menceritakan Raja Muda Kesukma Jaya yang pergi memburu bersama dengan kedua-dua pengasuhnya. Ketika di hutan beliau terdengar bunyi kemerduan kicauan sekumpulan burung yang mengasyikkan.

 

Burung-burung yang sedang mandi di kolam itu adalah Tuan Puteri Jerijit Emas dan inang-inangnya yang telah ditukarkan oleh Nenek Pendita yang menjaga puteri tersebut menjadi sekumpulan burung demi menjaga keselamatan mereka. Saksikan kisah ini di pementasan itu nanti.

 

Persembahan ini akan menampilkan bakat dan kebolehan artis budaya dan pemuzik Kumpulan Mak Yong Kijang Mas dalam kesenian Mak Yong. Mereka mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar dan pembimbing Mak Yong iaitu Rohani Mohd. Zain dan Rosnan Rahman yang juga merupakan tokoh dan pembimbing Mak Yong di JKKN Kelantan.

 

Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu. Siri Jelajah tersebut terbahagi kepada tiga zon utama merangkumi Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang), Zon Tengah (Selangor dan Pahang) serta Zon Selatan/Borneo (Johor dan Sabah).

 

Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Mas 2012 ini dianjurkan oleh JKKN, agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang Siri Jelajah Mak Yong melalui laman sesawang rasmi, www.jkkn.gov.my dan rangkaian media sosial facebook Sahabat Budaya JKKN.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, March 16, 2012