Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah mercu tanda warisan budaya Sabah

Rais Yatim menyampaikan cenderahati kepada Musa Aman selepas merasmikan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Sabah, semalam.

 

Kota Kinabalu 31 Mac- Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah merupakan mercu tanda warisan budaya terbaru negeri itu yang mempunyai lebih daripada 30 etnik dengan menggunakan lebih 50 bahasa dan tidak kurang daripada 80 dialek.

 

Kumpulan etnik utama di Sabah ialah Kadazandusun, Murut, Bajau, Paitan diikuti pelbagai lagi kumpulan penduduk asal lain termasuk Bonggi, Iranun, Idaan dan Brunei.

 

Menyedari keunikan kepelbagaian kaum dan budaya di negeri ini, kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tidak pernah terlepas pandang dalam usaha memulihara keunikan budaya di negeri kedua terbesar di Malaysia ini.

 

Pelbagai usaha dan peruntukan besar disalurkan bagi menjaga dan memelihara keunikan budaya Sabah yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

 

Pembinaan JKKN Sabah melambangkan keprihatinan KPKK khasnya dan Kerajaan Persekutuan amnya terhadap seni dan budaya masyarakat negeri di bawah bayu ini.

 

Projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Batu 2, Jalan Penampang seluas 1.3 hektar ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM20.4 juta.

 

Dengan reka bentuk yang diilhamkan dari konsep rumah tradisional pelbagai etnik Sabah ini, kompleks itu mula dibina pada 13 Disember 2007 dan siap sepenuhnya pada Mac 2012.

 

Struktur bumbungnya adalah daripada etnik Bonggi dan perabungnya menerapkan motif etnik Bajau Semporna dan Iranun yang dikenali sebagai tudjah dan layang-layang.

 

Gabungan pelbagai motif yang menghiasi keseluruhan ruang bangunan ini adalah berasal daripada etnik Kadazandusun-Murut manakala struktur dinding dan pintu gerbangnya menggambarkan rumah panjang etnik Rungus. Tingkap kacanya pula bermotifkan bunga Raflesia  iaitu bunga terbesar di Asia Tenggara.

 

Keseluruhan Bangunan Kompleks JKKN Sabah itu terbahagi kepada tiga blok iaitu blok pentadbiran, blok auditorium dan blok latihan. Ia menyediakan pelbagai kemudahan untuk penggiat seni dan budaya setempat bagi menyemarakkan seni budaya tanah air khususnya di Sabah.

 

Antara kemudahan yang disediakan ialah auditorium dengan 571 tempat duduk, bilik seminar (95 tempat duduk) dan bilik audio visual (40 tempat duduk).

 

Selain itu, ia turut dilengkapi dua buah studio tari, studio teater (1), studio muzik (1), gelanggang gasing, pentas terbuka, pusat sumber, galeri pameran dan bilik mesyuarat.

 

Dalam pada itu, menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan , Datuk Seri Dr. Rais Yatim, kompleks ini menjadi landasan penting untuk mempamerkan kepelbagaian dan kekayaan seni dan budaya masyarakat Sabah yang berbilang etnik.

 

Katanya, ia sekali gus menjadi cerminan keamanan dan keharmonian negara selaras dengan gagasan 1Malaysia.

 

Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana bekerjasama erat bagi menjadikan pembangunan kompleks ini menjadi satu kenyataan.

 

“Saya yakin penggiat, karyawan serta aktivitis seni budaya negeri Sabah berupaya menghasilkan karya seni yang lebih menyerlah menerusi pembinaan kompleks ini, seiringan dengan usaha pemuliharaan dan pembangunan seni budaya warisan kita bersama”, katanya.

 

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, usaha ini bukan sahaja akan mengembangkan lagi warisan budaya negeri tetapi mampu menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan negeri.

 

“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah saya merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada KPKK atas daya usaha dan inisiatif membina mercu budaya Sabah”,ujarnya.

 

Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan  khususnya KPKK bagi memulihara dan memelihara serta memartabatkan seni, budaya dan warisan ini untuk generasi akan datang.

Akhbar: 
Mingguan Malaysia
Publish date: 
Sunday, April 1, 2012