JKNN taja 1,000 akhbar Utusan Malaysia

 

MOHD. Rizal Ismail (kiri) menyerahkan akhbar Utusan Malaysia kepada Mohd. Shukri Hamad sebagai simbolik JKNN menaja 1,000 akhbar tersebut sempena Program Merakyatkan Seni Bersama Masyarakat Siam di Kangar, baru-baru ini.


 

 

KANGAR 12 April - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis menaja 1,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia pada Program Merakyatkan Seni dan Budaya Komuniti 1Malaysia bersama Masyarakat Siam di pekarangan Kolej Kejururawatan Masyarakat, Jalan Behor Pulai, di sini pada 14 April ini.

 

Pengarah JKKN Perlis, Mohd. Rizal Ismail berkata, naskhah percuma itu akan diedarkan kepada pengunjung bagi menambahkan ilmu dalam maklumat semasa selain mendapat manfaat daripada program tersebut.

 

''JKKN Perlis telah menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM1,600," katanya pada upacara penyerahan simbolik akhbar Utusan Malaysia bersama Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Shukri Hamad di pejabatnya di Persiaran Wawasan, di sini baru-baru ini.

 

Mohd. Rizal berkata, dijangka kira-kira 3,000 kaum Siam negeri ini akan memeriahkan program anjuran JKKN Perlis, Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Siam Perlis.

 

Tambahnya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim dan Pengerusi Persatuan Siam Perlis, Datuk Siw Chun Eam akan melawat tiga kampung di Kampung Padang Petani untuk memberikan sumbangan kepada penduduk yang dikenalpasti sebelum majlis pelancaran.

 

Katanya, pada majlis pelancaran itu juga akan diadakan upacara semburan air sebagai gimik untuk meraikan Pesta Songkran.

 

Tambahnya, selain itu juga diadakan persembahan kebudayaan oleh artis budaya tari JKKN dengan persembahan Selamat Datang yang merupakan tarian Siam, persembahan artis popular tempatan kaum Siam, Emom Esoong dan Nukphanida Pit juga persembahan gendang dan tarian menora masyarakat Siam.

 

Katanya, diadakan juga pertandingan permainan tradisional seperti karom, tuju tin, dam aji, batu tujuh, congkak dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

 

Selain itu, katanya, pengunjung boleh menyaksikan pameran yang melibatkan agensi seperti JKKN, Jabatan Muzium Perlis, Jabatan Penerangan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Pos Malaysia, Jabatan Kesihatan dan masyarakat Siam.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, April 19, 2012