JKKN Sarawak Anjur Pusat Seni Setempat Di Tebingan Kuching Sabtu Ini

KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak akan menganjurkan Pusat Seni Setempat di Tebingan Kuching pada Sabtu ini sempena sambutan Gawai Dayak.

Bertemakan 'Gayu Guru Gerai Nyamai', objektif program itu adalah untuk menjadikan bandar raya Kuching sebagai pusat pengembangan seni dan budaya, seterusnya mengangkat serta menyemarakkan lagi industri menerusi karya bermutu anak tempatan selain menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan negeri, antara aktiviti yang akan diadakan ialah persembahan tarian, puisi, nyanyian dan lakonan; promosi barangan kraf tangan Malaysia, barangan multimedia dan tempat menarik di Sarawak serta program interaktif.

Sejajar pembudayaan konsep 1Malaysia, program itu juga dapat menggambarkan integrasi antara kaum dan etnik menerusi pelbagai aktiviti seni seperti tarian, puisi, nyanyian dan lakonan, yang bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi mempunyai unsur informasi serta pendidikan, sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Orang ramai dijemput memeriahkan program itu, yang bermula pada 8 malam dan berakhir 10 malam, di Godown Amphitheater.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, June 13, 2012