Generasi Baru Kartunis Perlu Ketengahkan Identiti Malaysia Dalam Karya - Lat

 

KUALA LUMPUR -- Ikon kartunis terkemuka negara, Datuk Mohd Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat, mahu generasi baru kartunis negara mengetengahkan identiti warisan Malaysia dalam penghasilan karya mereka.

 

Beliau berkata usaha itu dapat memperkayakan identiti Malaysia di mata dunia dalam pelbagai lapangan karya termasuklah animasi, cereka, majalah dan juga pelukis kolumnis.

 

"Ini juga dapat mengingatkan kita dari mana asal usul kita, dan kebudayaan kita. Apa yang penting, bagaimana untuk memilih gelanggang atau bidang menerusi saluran yang tepat dan kesesuaian mesej yang ingin disampaikan.

 

"Dalam mengangkat karya yang mempunyai identiti yang tersendiri yang perlu dipelihara untuk meneruskan kesinambungan itu bagi tatapan generasi baru, ianya tidak akan terhasil sekiranya kita membawa hasil orang lain," katanya ketika sesi soal jawab Kuliah Budaya bertajuk 'Kartun dan Masyarakat' di sini Rabu.

 

Kuliah Budaya yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) disertai 220 pegawai dan warga kerja agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. Pengarah JKKN Zulkarnain Ramly bertindak sebagai moderator majlis tersebut.

-- BERNAMA

 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, April 25, 2012