Festival KL 2012 Sasar Sejuta Pengunjung Tempatan Dan Asing

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Festival Kuala Lumpur 2012 (Festival KL), yang akan berlangsung sebulan bermula 1 Julai depan, mensasarkan sejuta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang menganjurkan festival kali ketujuh itu bertema 'Di sini Semaraknya Seni!', yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kunjungan pelancong ke Malaysia yang paling ramai pada setiap Julai.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata acara-acara sepanjang Julai setiap tahun dapat merangsang pelancong asing untuk kembali ke Malaysia pada tahun berikutnya.

Menurutnya KL Festival 2011 mencatatkan kira-kira 930,000 pengunjung.

"Kali ini, kita yakin pengunjungnya lebih daripada itu kerana festival ini dapat menyemarakkan lagi pelbagai acara kebudayaan dan kesenian di sekitar bandar raya," katanya pada sidang media bagi mengumumkan rakan penganjur festival itu di sini malam ini.

Beliau berkata KPKK turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam penganjuran Festival KL tahun ini selain 28 agensi swasta dan badan badan bukan kerajaan sebagai rakan penganjur.

Antara rakan penganjur itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Karyawan, Kraftangan Malaysia, Balai Seni Visual Negara, Perpustakaan Negara, Pos Malaysia, Japan Foundation, Menara Kuala Lumpur, Pasar Seni dan pusat beli-belah Sungei Wang.

Keterangan lanjut mengenai festival itu boleh diperolehi di laman web rasmi festival di www.klfestival.org.my atau di facebook Urusetia Klfest/Sahabat Budaya JKKN.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Thursday, June 21, 2012