Festival Dikir Barat Perdana kumpul juara

SEBUT sahaja dikir barat, semua orang tahu ia merupakan seni budaya yang paling popular dan sinonim dengan rakyat Kelantan dan sering dijadikan atur cara kebudayaan dalam majlis keramaian.

 

 

Dikir barat biasanya dipersembahkan sebelah malam dan ia adalah satu pertandingan kecerdasan antara dua pasukan yang akan berbalas-balas dikir, diiringi dengan kemerduan irama daripada sekumpulan pemuzik tradisional.

 

 

Bagaimanapun, kini dikir barat telah mengalami perubahan seiring dengan peredaran masa, terutamanya dari segi peralatan muzik dan pakaian.


 

Sehubungan itu, bagi menyemarakkan kembali seni budaya warisan zaman itu akan diadakanFestival Dikir Barat Perdana - Himpunan Juara-Juara Dikir Barat dan Pergendangan Perdana 2011 pada 17 Oktober ini.

 

 

Festival yang akan bermula pada pukul 8 malam itu diadakan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan.

 

 

Lebih 1,000 pendikir daripada pelbagai golongan masyarakat di Kelantan akan berkumpul untuk menjayakan festival besar-besaran itu.

 

 

Festival yang dinaungi oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim itu, akan dijayakan oleh 47 kumpulan dikir barat dan lapan kumpulan pergendangan seluruh Kelantan.

 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kumpulan dikir barat tempatan mewakili 11 jajahan Kelantan akan sertai lima kumpulan dikir barat tempatan kanak-kanak, tiga kumpulan dikir barat institusi pengajian tinggi (IPT), empat kumpulan dikir barat pelbagai kaum (Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli) serta lapan kumpulan pergendangan Kelantan.

 

 

Antara kumpulan yang menyertai festival ini adalah Kumpulan Dikir Barat Kelantan, Kumpulan Pergendangan Kelantan - Rebana Ubi, Kumpulan Pergendangan Kelantan - Orkestra Simfoni dan Kumpulan Pergendangan Kelantan - Kertuk.

 

 

Sementara itu, Tukang Karut tersohor yang akan menyerikan festival ini antaranya adalah Mat Yie Kota Raya dan Jali Kain Batik.

 

 

Objektif utama pelaksanaan festival itu adalah untuk menyatukan para penggiat seni budaya khususnya para pendikir dan pergendangan dalam satu pasukan dan ke arah merealisasikan 1Malaysia.

 

 

Selain itu, festival ini juga berupaya memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni menggembangkan dan memartabatkan budaya bangsa serta menyemai minat dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum terhadap kesenian muzik tempatan.

 

 

Pada festival yang bakal dirasmikan oleh Rais Yatim itu, orang ramai turut berpeluang melihat perarakan pelbagai kaum yang berpakaian tradisional 1Malaysia.

 

 

Dijangka turut hadir pada festival itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, October 14, 2011