Chelorong Cheloreng versi moden

CHELORONG Cheloreng, kisah bangsawan yang pernah difilemkan dan ditayangkan pada 1962 dengan menampilkan Wahid Satay sebagai pelakon utama serta Allahyarham Datuk S Roomai Noor selaku tuan pengarah.

 

Pada era 60-an, Chelorong Cheloreng boleh dianggap popular. Bagaimanapun, tidak bagi generasi hari ini kerana naskhah lama itu tidak pernah lagi dikomersialkan seperti karya Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

 

Menyedari Chelorong Cheloreng sebuah kisah bangsawan yang sarat dengan mesej, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mementaskannya kembali dan bakal dipentaskan mulai 23, 24 dan 25 Mac jam 8.30 malam di Panggung Bandaraya Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Menampilkan kolaborasi hebat antara JKKN dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, pementasan itu turut membabitkan kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

 

Pengarah teater tersohor, Zaifri Husin yang pernah menggondol lima anugerah di Festival Kanak-Kanak di New Delhi pada 2010, dipertanggungjawabkan membentuk kisah bangsawan ini daripada filem ke pementasan teater dengan pendekatan yang lebih moden.

 

“Saya melakukan rombakan kecil pada skrip, tetapi masih berpandu naskhah asal. Pendek kata, improvisasi yang dilakukan untuk mencantikkan lagi jalan cerita. Saya juga lakukan sedikit penambahan di mana saya meminjam satu babak menarik dipetik filem Anakku Sazali.

 

“Kalau masih ingat, ada satu babak di mana P.Ramlee meniup seruling sehingga membuatkan sekumpulan wanita diserang gatal badan. Itulah yang saya serapkan,” katanya yang memilih genre komedi untuk pementasan itu.

Chelorong Cheloreng adalah nama dua pengasuh setia kepada Tengku Mahkota Dharma Kesuma dan kisah bangsawan itu mengisahkan Dharma yang enggan berkahwin dengan puteri dari negara musuh ayahandanya melarikan diri dari istana.

Sewaktu dalam pelarian, Derma terpikat dengan Harum Chendana dan mengahwininya. Suatu hari, Harum Cendana dilarikan orang. Derma bersama-sama sahabatnya, Chelorong dan Cheloreng cuba mencarinya.

Moral cerita ini, pada pendapat Zaifri cukup tinggi kerana ia mendedahkan betapa seseorang sanggup menggunakan kekuasaan untuk menguasai orang lain.

“Gara-gara Puteri Indah Seri Maharaja begitu tergila-gilakan Dharma dan meronta-ronta mahu mengahwininya, ayahandanya Raja Bintat sanggup menghantar perutusan kepada Sultan Raja Bodol untuk melamar Dharma meskipun mereka bermusuh.

“Bagaimanapun, perutusan itu tidak dibalas kerana Dharma melarikan diri dan akhirnya jatuh cinta dengan gadis kebanyakan bernama Chendana. Disebabkan Indah terlalu angau dan tetap mahukan Dharma, Raja Bintat yang berharta dan berkuasa merancang menculik Chendana untuk memerangkap Dharma.

“Raja Bintat percaya jika tiada cara baik kekerasan selalu berkesan. Sewaktu kehilangan Chendana, Dharma bersama Chelorong dan Cheloreng cuba menjejaki isterinya itu. Bagaimanapun mereka menempuh pengalaman menyeramkan.

“Untuk babak ini, saya menokok tambah sikit dengan mewujudkan watak hantu yang kelakar dan elemen ini dirasakan bertepatan dengan kehendak khalayak pada masa ini,” katanya.

Memuji barisan pelakonnya yang terdiri daripada kakitangan JKKN sendiri, pementasan ini dibintangi lima pelakon utama Nik Mohd Faiszulikhwan Mohamad dan Ismarizal Zulamran sebagai Chelorong dan Cheloreng, Mohd Hanafie Mohamad (Tengku Mahkota Dharma) Kesuma, Nurul Syuhada Suhaimy (Harum Chendana) dan Puteri Seri Indah (Rozita Abdul Rahim).

Apa yang menarik, kelima-lima mereka ini adalah kakitangan JKKN termasuk 25 pelakon lain yang terbabit antaranya Badrul Hisham Mujib (Raja Bintat) dan Nur Ibrahim Sabri (Sultan Raja Bodol).

Memuji semua barisan pelakonnya berbakat besar sekalipun bukan aktivis teater profesional, cabaran bagi Zaifri tetap ada apabila rata-rata daripada mereka tidak mempunyai asas lakonan.

“Cabaran utama kerana semua kakitangan JKKN ini sangat sibuk dan kami hanya boleh berlatih bermula jam 5 petang sebaik tamat waktu pejabat. Ramai di antara mereka berbakat, tetapi tidak ada pengalaman beraksi di pentas.

“Artis budaya yang kita gunakan khidmat mereka pula sudah biasa membuat persembahan di khalayak ramai, tetapi mereka tidak pernah berlakon. Justeru, bukan mudah memastikan semua watak bergerak seiring, sekali gus mengambil kira koreografi tarian dan nyanyian mereka mantap.

“Apapun saya yakin walaupun pementasan Chelorong Cheloreng ini tidak menggunakan bintang terkenal, jenama JKKN sendiri sudah cukup kuat untuk menarik orang ramai berdasarkan sambutan pada tahun sebelumnya.

“Mungkin juga bagi mereka yang pernah mengikuti hasil kerja saya sejak dulu antara kelompok penonton yang akan datang menyaksikan pementasan ini,” katanya.

Bagi yang ingin menyaksikan pementasan Chelorong Cheloreng hanya mengenakan kadar bayaran RM5. Maklumat lanjut sila hubungi JKKN di talian 03-20523600 (sambungan 3646/3724).

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, March 19, 2012