Acara kesenian, kebudayaan rakyat, PMS meriah


dn_10.1.jpg
Rais Yatim menyampaikan komputer 1Malaysia kepada mahasiswa dan mahasiswi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) di Universiti Malaya yang berlangsung baru-baru ini meriah dengan pelbagai acara kebudayaan dan kesenian yang membabitkan mahasiswa dari dalam dan luar negara.

Lebih unik, kehadiran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tiba dengan menaiki teksi kelmarin, memberikan satu kelainan kepada acara tersebut.

Ketibaan Rais dan isteri, Datin Seri Masnah Rais itu diiringi konvoi 50 buah teksi dan disambut dengan persembahan selamat datang (Etnik 1Malaysia) oleh Kumpulan Kesenian Seksyen Kreatif Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.

Program tersebut merupakan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan diselia oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Universiti Malaya, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

Pengisian utama acara ini ialah 'Sepetang Bersama Menteri' yang menampilkan sembang santai bersama Rais yang bertajuk 'Ruang dan Peluang Mahasiswa' di dalam Dasar Industri Kreatif Negara.

Sembang santai itu merupakan acara dinanti-nantikan oleh ramai mahasiswa dan semasa sesi soal jawab, begitu ramai mahasiswa yang berebut-rebut untuk bertanyakan soalan yang kemudiannya dijawab dengan bersahaja.

Bukan itu sahaja, penampilan dua pelajar antarabangsa Universiti Malaya yang berasal dari benua Afrika yang menyanyikan lagu Melayu menerima tepukan gemuruh daripada hadirin dan juga Rais.

Rata-rata mahasiswa yang hadir pada sesi itu gembira kerana dapat berinteraksi dengan menteri secara langsung dan ramai daripada mereka memuji cara Rais menjawab pelbagai soalan termasuk dalam soal politik.

Malah, di majlis itu juga, Rais telah menyempurnakan acara penyerahan Wakaf Budaya kepada Universiti Malaya yang diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof.

Selain, menggalakkan mahasiswa terlibat dalam industri kreatif, Rais turut mengumumkan kementeriannya akan membiayai satu segmen industri kreatif di UM bagi menjayakan pelan Dasar Industri Kreatif Negara.

Kata beliau, melalui program tersebut kementerian akan mengumpulkan data untuk menentukan kecenderungan aspek seni budaya mahasiswa universiti itu yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

Jelasnya, kementerian juga boleh bantu dari segi latihan dan kepakaran dalam beberapa aspek atau mereka boleh sertai bengkel di Akademi Seni Buadaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Beliau juga menjelaskan, program yang juga telah dilakukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bertujuan mencungkil potensi mahasiswa yang berminat dalam industri kreatif ke arah produktiviti tinggi dalam bidang tersebut.

Di samping itu, Rais juga sempat menyampaikan sumbangan sebanyak 40 buah komputer riba 1Malaysia.

Program yang berlangsung sejak awal pagi di pekarangan Kompleks Perdana Siswa menampilkan pelbagai acara seperti Senam Seni 1Malaysia, gotong royong Wakaf Budaya, aktiviti interaktif, mencungkil bakat, sukan rakyat serta pameran dan jualan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121126/dn_10/Acara-kesenian-kebudayaan-rakyat-PMS-meriah#ixzz2IIa8dXhF 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, November 26, 2012