86 aktiviti warnai Festival KL 2012

Kamaruddin Siaraf (belakang, tengah) bersama dengan rakan penganjur selepas sidang media Festival Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli (belakang, bertudung merah jambu).

Kuala Lumpur 24 Jun - Sepanjang bulan depan, mulai 1 Julai, Kuala Lumpur akan diwarnai dengan 86 aktiviti kesenian dan kebudayaan sempena penganjuran Festival Kuala Lumpur 2012.


Festival yang menggabungkan kerjasama tiga kementerian dengan urus setianya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) turut menyasarkan kehadiran satu juta pengunjung.

 

Majlis prapelancaran festival itu telah dilakukan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Selain KPKK, festival bertemakan Di sini Semaraknya Seni! turut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan Malaysia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

 

Aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dianjurkan merangkumi bidang seperti seni persembahan, seni tampak, warisan, permainan tradisional, bahasa dan persuratan, rekreasi, pelancongan, makanan tradisi dan lain-lain.

 

Istimewanya festival kali ini adalah bertepatan juga dengan kedatangan bulan Ramadan pada pertengahan Julai.

 

Untuk itu, unsur-unsur sambutan festival akan turut dimeriahkan dengan aktiviti kerohanian, kekeluargaan, keilmuan dan muhibah yang disemarakkan menerusi Festival Ramadan yang berterusan sehingga Ogos.

 

Festival KL 2012 bertujuan memanfaatkan kehadiran pelancong dengan memberi peluang untuk mereka mengenali keindahan seni budaya warisan Malaysia di samping memperkenalkan pusat-pusat kesenian, kawasan tumpuan pelancong dan pusat-pusat rekreasi yang ada di sekitar Kuala Lumpur.

 

Mengikut statistik, Julai mencatatkan kedatangan pelancong yang ramai ke Malaysia setiap tahun. Justeru, acara-acara yang diadakan sepanjang bulan Julai setiap tahun melalui Festival Kuala Lumpur 2012 dapat merangsang pengunjung luar negara untuk kembali ke Malaysia pada tahun-tahun berikutnya.

 

Festival ini menyediakan ruang dan peluang kepada seluruh masyarakat tempatan dan pelancong luar negara untuk menikmati keunikan seni budaya, dari yang tradisional hinggalah yang berbentuk kontemporari serta meliputi pelbagai genre persembahan.

 

Pada masa yang sama peningkatan jumlah khalayak setiap tahun memberi manfaat kepada industri pelancongan negara, iaitu apabila pelancong berbelanja, serta turut memanfaatkan penggiat-penggiat seni yang terlibat dan pelbagai industri dan perniagaan yang berkaitan seperti pengangkutan, perhotelan, pengusaha makanan, cenderamata dan kraf.

 

Selepas tujuh tahun penganjurannya, festival ini dilihat signifikan kepada pembangunan industri kreatif dan seni budaya tanah air di samping memupuk budaya hidup sihat di kalangan warga kota dengan tumpuan turut diperluaskan kepada aktiviti riadah, rekreasi dan pelancongan di taman-taman yang disediakan di ibu kota.

Festival ini juga diharap memberi peluang kepada masyarakat tempatan dan pelancong mendekati keindahan dan kepelbagaian seni budaya dan warisan rakyat Malaysia, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab kesenian antarabangsa.

 

Ia juga diharap dapat memberi impak baru dengan kemunculan lebih banyak acara menarik sepanjang Julai nanti.

 

Kerajaan juga berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat atau hab kesenian bukan sahaja bagi tujuan pembangunan seni dan budaya tempatan malah di peringkat antarabangsa.

 

Tahun ini sebanyak 31 lokasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenal pasti untuk persembahan pelbagai acara ini.

 

Buat pertama kali juga dalam sejarah festival ini, peluasan jaringan tajaan telah diterima daripada agensi seperti Naza World sebagai kenderaan rasmi, Fruit Tree F&N - minuman rasmi majlis perasmian dan Red Box selaku saluran rasmi.

 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, boleh menghubungi Urusetia KLFest di talian 032052 3605/07/09 atau Cawangan Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di 03-20523600 atau e-mel ke secretariat.klfest@gmail.com manakala laman web rasmiwww.klfestival.org.my sudah beroperasi mulai 1 Jun ini.

 

Anda juga boleh melayari laman sosial facebook Urusetia Klfest/Sahabat Budaya JKKNatau 'like' fanpage Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

 

 

Akhbar: 
Kosmo!
Publish date: 
Sunday, June 24, 2012