1,000 sertai senam seni sihat 1Malaysia

PUTRAJAYA: Kira-kira 1,000 peserta membabitkan penduduk setempat dan warga emas memeriahkan program senam seni sihat 1Malaysia di Padang Awam Kompleks Kejiranan Presint 9, semalam.

 

Program bermula jam 7.30 hingga 9 pagi itu adalah anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Pengarah Bahagian Perancangan dan Penilaian MySihat, Arfah Mahani Amran berkata, program berkenaan bertujuan menggalakkan penduduk sekitar mengamalkan gaya hidup sihat dalam aktiviti harian, sekali gus mengelakkan pelbagai penyakit tidak berjangkit. Menurutnya, kehadiran peserta yang menggalakkan menunjukkan matlamat program itu berjaya dan beliau turut menggalakkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi kerajaan melaksanakan kerjasama dengan MySihat untuk menganjurkan program seperti itu. “MySihat bertanggungjawab memberi dana kepada NGO atau agensi kerajaan yang ingin menganjurkan program berbentuk kesihatan membabitkan penyertaan masyarakat,” katanya. “Kerjasama semua pihak penting bagi mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Sunday, April 29, 2012